AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH
Al-Syahadatain
(dua kalimah syahadah) adalah merupakan lafaz yang wajib diketahui dan
dii`tikadkan oleh setiap muslim. Ia juga merupakan lafaz yang wajib
diucapkan oleh orang-orang kafir bagi melambangkan keislaman mereka.
Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.
Perhatian: Lafaz ashhadu (أشهد) yakni “aku bersaksi” mengandungi tiga makna serentak iaitu:
1. (أعلم) yakni “aku mengetahui”,
2. (أعتقد) yakni “aku mempercayai” dan
3. (أعترف) yakni “aku mengiktiraf”.
Inilah
lafaz yang afdal dan paling sesuai bagi menjelaskan tuntutan iman dan
Islam. Ini kerana setiap sesuatu pengakuan hendaklah didahului dengan
kepercayaan, dan setiap kepercayaan pula hendaklah didahului dengan
pengetahuan atau ilmu. Jika tidak, maka pengakuan dan kepercayaan itu
adalah suatu pembohongan. Demikian juga jika seseorang itu tahu tentang
kebenaran Islam tetapi tidak mahu mempercayai atau tidak mengakui
kebenaran Islam, maka dia telah berdusta sebagaimana orang-orang Yahudi
yang telahpun mengetahui kebenaran Islam yang disampaikan oleh Nabi
Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, bahkan mereka mengenali baginda
sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri, namun disebabkan
sikap degil dan bongkak mereka tidak mahu memperakui akan kebenaran
risalah yang dibawa oleh baginda sallallahu`alaihi wasallam.
Makna Kalimah Syahadah Pertama:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
“Aku
mengetahui (dengan menuntut ilmu), aku beri`tiqad (mempercayai) dengan
hati tanpa dipaksa dan aku mengiktiraf (mengakui) dengan lidah bahawa
tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya melainkan Allah Yang Maha
Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal lagi Yang Sedia Ada, Yang Maha
Hidup lagi Yang Maha tidak berhajat kepada yang lain dan Yang Maha Kekal
lagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Mengetahui
lagi Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang
dikehendaki-Nya, sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti berlaku dan sesuatu
yang tidak dikehendaki oleh-Nya pasti tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan
yang tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang
bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang
suci dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”.
Ringkasan
daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan (merujuk
kepada) 20 sifat bagi Allah ta`ala iaitu: al-Wujud (ada), al-Qidam
(sedia ada), al-Baqa’ (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith (bersalahan
dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada makhluk),
al-Wahdaniyyah (esa), al-Qudrah (berkuasa), al-Iradah (berhendak),
al-`Ilm (mengetahui), al-Hayah (hidup), al-Sama` (mendengar), al-Basar
(melihat) dan al-Kalam (berkata), Kaunuhu Qadiran (keadaan Allah ta`ala
yang berkuasa), Kaunuhu Muridan (keadaan Allah ta`ala yang berkehendak),
Kaunuhu `Aliman (keadaan Allah ta`ala yang mengetahui), Kaunuhu Hayyan
(keadaan Allah ta`ala yang hidup), Kaunuhu Sami`an (keadaan Allah
ta`ala yang mendengar), Kaunuhu Basiran (keadaan Allah ta`ala yang
melihat), Kaunuhu Mutakalliman (keadaan Allah ta`ala yang berkata-kata).
Makna Kalimah Syahadah Kedua:
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
“Aku
mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa Muhammad ibn `Abdullah ibn
`Abd al-Muttalib ibn Hashim ibn `Abdu Manaf al-Qurashi sallallahu`alaihi
wasallam itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada semua makhluk.
Selanjutnya, diikuti dengan iktikad dan keyakinan bahawa baginda telah
diputerakan dan dibangkitkan sebagai seorang rasul (pesuruh Allah) di
bumi Mekah, berhijrah ke bumi Madinah dan disemadikan di sana, baginda
benar dalam semua perkara yang dikhabarkan dan disampaikannya daripada
Allah iaitu mencakupi perkara-perkara yang telah berlaku,
perkara-perkara yang akan berlaku dan perkara-perkara yang berhubung
dengan hukum syariat. Antara perkara yang dikhabarkan itu ialah azab dan
nikmat kubur, soalan dua malaikat Munkar dan Nakir, kebangkitan dari
alam barzakh, perhimpunan di Mahsyar, kiamat, hisab, pahala, azab,
neraca amalan, titian al-Sirat, neraka, kolam al-Hawd, syafaat, syurga,
melihat Allah dengan mata kepala pada hari Akhirat tanpa kayfiyyat,
tanpa bertempat dan ruang; iaitu tidak seperti makhluk dilihat,
keberkekalan hamba-hamba Allah di dalam syurga dan neraka, keimanan
dengan para malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan qada`
dan qadar Allah iaitu yang baik dan yang buruknya, dan sesungguhnya
baginda adalah penyudah segala nabi dan penghulu seluruh keturunan Nabi
Adam alaihissalam.
HUKUM MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA:
•
Jika seruan asas Islam iaitu Dua Kalimah Syahadah sampai kepada sesiapa
yang mukallaf, maka wajib ke atasnya menganut agama Islam, tetap dalam
agama Islam dan beramal dengan syariat Islam.
• Untuk menganut
agama Islam, seseorang yang kafir wajib mengucap Dua Kalimah Syahadah
berserta dengan i`tiqad yang benar lagi utuh.
• Lafaz Dua
Kalimah Syahadah tidak disyaratkan dengan lafaz yang dimulakan dengan
lafaz ashhadu (أشهد) untuk mengesahkan kemasukan seseorang ke dalam
agama Islam. Bahkan, ianya boleh dilafazkan dengan ungkapan lain yang
mempunyai makna yang sama dengannya meskipun bukan dalam bahasa Arab.
•
Kefardhuan melafazkan Dua Kalimah Syahadah ke atas seluruh umat Islam
kekal dalam setiap solat supaya solat menjadi sah menurut mazhab al-Imam
al-Syafi`e.
• Orang yang dilahirkan di dalam Islam dan
beri`tiqad dengan Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan mengucap dua
kalimah syahadah untuk menjadi orang Islam. Bahkan dia sebenarnya sudah
menjadi orang Islam kerana didikan dan asuhan yang diterima olehnya
adalah berdasarkan kepada aqidah yang sahih.
• Menurut ulama
dalam mazhab Maliki bahawa Dua Kalimah Syahadah wajib diucapkan sekali
seumur hidup ke atas setiap mukallaf setelah mencapai usia baligh dengan
niat fardhu. Ini adalah kerana mazhab mereka tidak mewajibkan bacaan
tahiyyat dalam solat, bahkan mereka hanya menganggapnya sebagai sunat.
Sedangkan menurut ulama dalam mazhab-mazhab yang lain seperti ulama
mazhab Syafi`e dan mazhab Hanbali, dua kalimah syahadah adalah wajib
dilafaz dalam setiap solat bagi memastikan solat menjadi sah.
•
Iman dan Islam seseorang itu tidak sah dan segala amalan kebajikannya
tidak diterima tanpa dua kalimah syahadah yakni tanpa iman yang benar.
•
Ucapan syahadah pertama wajib diiringi dengan ucapan syahadah kedua
bagi mengesahkan keislaman seseorang yang mahu memeluk agama Islam.
Itulah kadar minima untuk selamat dari kekal abadi di dalam api neraka.
Oleh
itu setiap manusia wajib meyakini secara jazam (putus) tentang
kewujudan Allah ta`ala dan Allah ta`ala mempunyai sifat-sifat yang
sempurna. Seseorang itu juga wajib juga beri`tiqad bahawa apa yang di
bawa oleh Rasulullah adalah benar belaka tanpa ada syak, zan dan waham.
الْجَزْمُ يُخْرَجُ مِنْهُ: الْشَكُّ, الْظَنُّ, الْوَهْمُ.
Al-Jazm
dikeluarkan daripadanya : Syak (ragu-ragu), Zan (melebihi percaya
daripada tidak), Waham (melebihi ketidakpercayaan daripada percaya).
مُوَافِقٌ لِلْحَقِّ يُخْرَجُ مِنْهُ: جَاهِلٌ بَاسِطٌ, جَاهِلٌ مُرَكَّبٌ
Selari
dengan kebenaran dikeluarkan daripadanya: Jahil basit (tidak mempunyai
pengetahuan sama sekali), jahil murakkab (jahil yang tersusun iaitu
tidak sedar bahawa dirinya jahil)
عَنْ دَلِيْلٍ: أَيْ لَيْسَ تَقْلِيْدًا
Daripada dalil: tidak boleh bertaqlid.
Maksud
taqlid iaitu orang yang mengikut tanpa belajar dan apabila ditanya maka
individu tersebut tidak dapat mengeluarkan dalil dalam perkara yang
berkaitan dengan akidah.
Ø Sekiranya seseorang itu bertaqlid
(mengikut) kepada orang yang tidak betul iaitu golongan yang terkeluar
dari landasan akidah yang sahih walau dengan jazam sekalipun tetap
dihukumkan sebagai tidak beriman.
Ø Sekiranya seseorang itu
berbertaqlid (mengikut) kepada orang yang beraqidah sahih iaitu yang
berada di atas landasan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Hukumnya
terbahagi kepada tiga:
1. Sekiranya dia bertaqlid
(mengikut) dengan jazam (putus), maka dia dikira beriman tetapi dihukum
fasiq iaitu berdosa walaupun beriman. Ini pendapat yang muktamad.
2. Tidak dikira beriman walau dia bertaqlid dengan jazam sekalipun. Ini pendapat yang dhaif.
3.
Sekiranya dia bertaqlid tetapi tidak jazam, maka dirinya tidak
dikatakan sebagai beriman walaupun yang diikutinya itu adalah orang yang
sahih aqidahnya.
Kesimpulannya, syarat untuk mengenal Allah ada empat:
1. Tahu dengan belajar (talaqqi).
2. Yakin dengan keyakinan yang jazam (putus).
3. Berpegang dengan perkara yang sebenar iaitu Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.
4. Besertakan dalil iaitu dari al-Quran, al-Sunnah, Ijma` ulama` dan qias.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar