Mukadimah
Aku menerima banyak email yang bertanyakan mengenai Ilmu Ibu Gayong.
Pada kesempatan di entri ini aku akan perjelaskan serba sedikit mengenai
Ilmu Selisih, Ibu Gayong (Ibu Silat) dan Ibu Gerak.
Ummul Kitab (Ibu Segala Kitab)
Segala jenis ilmu mengenal ALLAH (MakrifatuLLAH) asalnya dari Ummul
Kitab. ‘Ummul’ di dalam bahasa Melayu ialah ‘Ibu’, dan Ummul Kitab (Ibu
Segala Kitab) difirman Tuhan pada Surah Ar-Ra’du,
يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ ۖ وَعِنْدَهُ أُمُّ الْكِتَابِ
(QS. Ar-Ra’du 13:39)
Terjemahan:
“ALLAH menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab.”
Ayat di atas menerangkan firman ALLAH mengenai hak mutlak-Nya untuk
menurunkan Ayat-ayat Wahyu, menghapus atau menetapkannya dan bukanlah
hak seseorang rasul untuk mendatangkan Ayat Wahyu melainkan dengan izin
ALLAH. Segala Ayat-ayat Wahyu dari Kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan
Al-Qur’an berasal dari ‘Ibu’ atau ‘mastercopy’ dan ‘ibu’ tersebut
difirman sebagai Ummul Kitab.
Maka segala jenis ilmu mengenai Agama Islam asalnya dari Wahyu Ilahi
yang diturunkan melalui para rasul yang diutus dengan lantikan Nabi
ALLAH. Sebenarnya jika diperhalusi pemahaman Al-Qur’an dengan pintu hati
yang bersih (Ulul Albab), kita akan menemui banyak ayat-ayat Taurat,
Zabur dan Injil yang dikandungi oleh Al-Qur’an, Pelengkap Segala Kitab
Wahyu. ‘Ibu’ kepada Al-Qur’an letaknya di sisi ALLAH, Tuhan Yang Maha
Memelihara Kalimah-Nya.
Misalnya seorang ustaz berguru dengan beberapa orang ‘alim. Para ‘alim
ini berguru pula dengan beberapa guru yang lebih ‘alim berstatus ulamak
yang bertaqwa (takutkan Tuhan). Para ‘alim ulamak ini berguru dengan
Syeikhful Islam. Syeikhful Islam ini berguru pula dengan beberapa
‘ArifbiLLAH sehinggalah Nasab Ilmu ini bertemu dengan para sahabat Nabi
dan akhirnya bersambung dengan Ilmu Nabi Muhammad, RasuluLLAH yang
menerimanya dari Al-Qur’an dan Al-Hikmah.
Sekiranya Nasab Ilmu ini terputus, yakni tidak bersambung dengan Nabi
Muhammad RasuluLLAH dan tidak juga bersambung dengan mana-mana Nabi
ALLAH yang lain maka ilmu ini bukanlah berasal dari sisi Tuhan dan ianya
berasal dari setan dan syaitan.
Ilmu Selisih
Ilmu Selisih ialah sejenis Ilmu Makrifat yang tingkatannya lebih rendah
dari Ilmu Ibu Gayong (Ibu Segala Jenis Silat) manakala Ibu Gayong dengan
penambahan tingkatan makrifat yang lebih tinggi membawa kepada Ilmu Ibu
Gerak, Ibu Segala Jenis Gerak. Mat Komando yang ditembak mati oleh
polis suatu ketika dulu mengamalkan Ilmu Selisih yang diperturunkan oleh
gurunya. Konsep Ilmu Selisih ini amatlah ringkas iaitu menyelisih
(mengelak) dengan memloloskan diri dari musuh, jadi Mat Komando dapat
meloloskan diri dari kepungan pihak berkuasa. Mengenai arwah Mat
Komando, beliau bukanlah seorang yang ganas atau samseng. Sebaliknya
beliau adalah seorang yang warak, merendah diri dan tidak pernah
membunuh mangsa rompakannya. Kelemahan Ilmu Selisih ialah ilmu ini tidak
dilengkapkan dengan makrifat Ilmu Kebal. Jadi Mat Komando terpaksa
mengamalkan pemakaian sejenis pendinding kebal, yang tidak perlu aku
sebutkan di sini. Bukan apa, aku khuatir jika aku sebutkan jenis
pendinding tersebut akan adalah manusia yang mencarinya tanpa tauhid
yang kukuh lalu menjadi kafir dan aku tidak mahu bersubahat dalam
hal-hal sebegini. Mat Komando ditembak mati ketika beliau sedang
bersembahyang, pendinding kebal tersebut tidak boleh dipakai ketika
sedang bersembahyang. Tiga hari selepas Mat Komando ditembak mati,
gurunya pula meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia, gurunya
berfirasat bahawa ada seorang lagi yang lebih hebat ilmunya dari Mat
Komando. Orang yang dimaksudkan tersebut mengamalkan Ilmu Ibu Gayong
yang lebih tinggi tingkatan makrifatnya dari Ilmu Selisih.
Ilmu Ibu Gayong
Gayong ialah sebutan Melayu Klasik untuk ‘bersilat’. Jadi Ilmu Ibu
Gayong ialah bukanlah asalnya dari Silat Gayong yang diperkenalkan oleh
arwah Dato’ Meor. Ilmu Ibu Gayong berkenaan dengan mengenali Zat ALLAH.
Tiada cara lain untuk mempelajari ilmu ini melainkan dengan berguru
dengan guru mursyid, berserah diri kepada ALLAH dan memahami Al-Qur’an.
Konsep Ibu Gayong juga amatlah ringkas tetapi untuk mencapai makrifatnya
amatlah sukar.Ilmu ini merangkumi beberapa makrifat asas iaitu:
1) Mengenal diri dan asal usul kejadian Alam Makhluk dan Alam Benda ciptaan ALLAH.
2) Meletakkan status diri sebagai hamba ALLAH dengan sepenuh ketaqwaan
(ketakutan) kepada ALLAH semata-mata. Maka dengan ketakwaan hakiki ini
pengamalnya tidak akan pernah takut kepada sesuatu apa pun yang lain
melainkan hanya Tuhan Yang Maha Perkasa.
3) Meletakkan perlindungan diri dan nyawa di bawah kekuasaan mutlak Tuhan Yang Maha Kuasa, Yang Maha Melindungi hamba-Nya.
4) Meletakkan sebarang jenis ancaman dari musuh dari kalangan manusia, jin atau objek sebagai musuh kepada Zat ALLAH.
5) Meletakkan para Malaikat sebagai makhluk yang tunduk kepada Khalifah ALLAH.
6) Meletakkan diri sebagai Khalifah ALLAH dengan mempertajamkan MakrifatuLLAH.
7) Menyeru meminta perlindungan hanya dari Tuhan secara mutlak, bukan dari malaikat atau pun jin.
Ilmu Ibu Gayong ini merangkumi beberapa rangkap serapah mentauhidkan
diri kepada Tuhan dan serapahnya mengandungi beberapa jenis ilmu:
1) Serangkap serapah BismiLLAH Tauhid 121 Asma-Al-Husna
2) Serangkap serapah menyumpah musuh (dari kalangan manusia, jin dan objek) sebagai musuh kepada Zat ALLAH.
3) Serangkap serapah bersumpah diri di bawah kandungan Zat ALLAH.
4) Serangkap serapah Ilmu Selisih.
5) Serangkap serapah Ilmu Pendinding (Kebal).
6) Serangkap serapah Ilmu Memulangkan Ancaman kembali kepada musuh.
7) Serangkap serapah Ilmu Khalifah Pemerintah Makhluk.
8) Serangkap Dua Kalimah Shahadah.
Kejituan atau ‘sensitivity’ Ilmu Ibu Gayong amatlah tajam walaupun dalam
keadaan tidur sekali pun. Contohnya ketika pengamalnya sedang tidur
nyenyak di atas lantai; apabila digolekkan sebiji buah pinang yang
lembut (tidak menghasilkan bunyi) ke arah pengamal, tubuh akan terangkat
sendiri membiarkan buah pinang tersebut melepasi di bawah tubuh
pengamal. Apabila ditetak dengan parang semasa sedang tidur, tubuh
berpusing 90 darjah dan tetakan tersebut dipatahkan balik mengena diri
musuh. Apabila ditembak dengan pistol, pelurunya menyimpang lalu
berpatah balik mengena musuh atau senapang meletup ditangan musuh.
Apabila tubuh pengamal dibiarkan untuk dipukul atau ditembak peluru,
udara membentuk lapisan pendinding yang menyerap hentakan. Semuanya
berlaku dengan izin ALLAH.
Apabila ada orang menyangka Ilmu Ibu Gayongnya cukup hebat, akan ada
lagi seorang yang dikurniakan ilmu yang lebih tinggi makrifatnya iaitu
Ilmu Ibu Gerak.
Ilmu Ibu Gerak
Aku tidak tahu jika ada lagi ilmu yang tingkatannya lebih tinggi dari Ilmu Ibu Gerak. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.
Ilmu Ibu Gerak asasnya dari Ilmu Ibu Gayong. Cuma pemahaman
MakrifatuLLAH yang lebih mendalam akan menambah beberapa lagi Ilmu
Hikmah kepada Ilmu Ibu Gayong iaitu:
1) Ilmu Membaca Gerak Hati dan Isi Hati seseorang hanya dari sekilas gerakan.
2) Ilmu Penunduk, menundukkan manusia dan jin yang tidak taqwa sehinggakan manusia dan jin tersebut menjadi bertaqwa.
3) Ilmu Malaikat, di alam Malakut dalam menjalankan Perintah ALLAH.
4) Ilmu Halimunan, menghentikan (membekukan) masa selama 45 minit.
5) Ilmu Lipat Bumi, berada di beberapa tempat pada sesuatu ketika.
6) Ilmu Lipat Masa, berada di sesuatu masa di hadapan atau di belakang.
7) Mentadbir makhluk dan alam benda di bawah Zat ALLAH dengan izin-Nya, sebagai Khalifah ALLAH di muka bumi.
Prasyarat Menuntut Ilmu Ibu Gayong dan Ibu Gerak
Memahami Al-Qur’an sebagaimana Nabi Muhammad RasuluLLAH memahaminya
melalui Pintu Hati Yang Bersih (Ulul Albab). Perkataan ‘Ulul Albab’
difirman beberapa kali pada beberapa ayat Al-Qur’an dan salah satunya
ialah pada Ayat Akhir Surah Ibrahim,
هَٰذَا بَلَاغٌ لِلنَّاسِ وَلِيُنْذَرُوا بِهِ وَلِيَعْلَمُوا أَنَّمَا هُوَ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
(QS. Ibrahim 14:52)
Terjemahan:
“Ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan supaya mereka
diberi pelajaran dengannya, dan supaya mereka mengetahui bahwasanya Dia
adalah Tuhan Yang Maha Esa dan agar orang-orang Ulul Albab berzikir
(mengambil peringatan darinya).”
Pantang Larang
Seorang lelaki pernah diajar Ilmu Ibu Gayong. Akibat melanggar Sumpah
Kalimah Syahadah dan menyimpang keluar dari Perjanjian Al-Qur’an, lelaki
tersebut menyeru malaikat (tidak menyeru Tuhan) lalu 7 Ekor Raja Jin
Kafir menyahut seruannya. Lelaki tersebut tidak mengetahui bahawa dia
telah mengamalkan Ilmu Ibu Jin lalu dia mati dipanah petir dalam keadaan
kafir musyrik (engkar lagi syirik, penghuni Neraka Jahannam). Untuk
melanggar pantang amatlah mudah, putar belit hukum Al-Qur’an, engkar
perintah Tuhan, melakukan larangan-Nya dan menyeru sesuatu yang lain
selain dari-Nya.
Penutup
Ilmu sebegini adalah ilmu-ilmu Al-Hikmah untuk jalan yang Haq
(Kebenaran) , tidak berlaku sesuatu apa pun melainkan dengan izin ALLAH.
Salah pemahaman makrifat akan membawa kepada kafir musyrik sebagai
tiket menuju Neraka Jahannam tanpa hisab. Benar pembawaan makrifatnya
pula akan membawa kepada tingkat-tingkat (maqam) yang lebih baik di sisi
ALLAH, Tuhan Yang Maha Empunya Haq.
Aku tidak mahu menyembunyikan sebarang ilmu tambahan lagi Ilmu Khalifah
sebegini untuk tujuan haq atau fi sabiliLLAH. Kepada mereka yang
menghubungi aku melalui email untuk mempelajari ilmu sebegini, buktikan
bahawa anda memahami Al-Qur’an sepertimana Nabi Muhammad Abdullah
‘AbduHU wa RasulluHU atau setidak-tidaknya seperti Imam Jawi Pesuruh
ALLAH memahaminya.
Sekian.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar